Ahad, 9 Ogos 2009


Akta Koperasi, 1993 (Akta 502)

Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi penubuhan, pendaftaran, penagwal dan pengawalselian koperasi-koperasi; untuk menggalakkan perkembangan koperasi-koperasi; dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

PERMULAAN
1. Tajuk ringkas dan mula berkuatkuasa.
1.1 Akta ini boleh dinamakan Akta Koperasi 1993.
1.2 Akta ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta, dan Menteri boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi mula berkuatkuasanya Akta ini di bahagian-bahagian yang berlainan di Malaysia atau bagi mula berkuatkuasanya peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam Akta ini.

2.Tafsiran
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:
Anggota :termasuklah seseorang atau sesuatu koperasi berdaftar yang turut sama dalam permohonan pendaftaran sesuatu koperasi, dan seseorang atau sesuatu koperasi berdaftar yang diterima menjadi anggota mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang kecil selepas pendaftaran;

Deposit :
ertinya wang yang didepositkan oleh mana-mana orang dengan sesuatu koperasi berdaftar dalam suatu akaun tetap atau akaun tabungan atau akaun deposit yang lain tetapi tidak termasuk syer atau yuran atau simpanan khas;

Dividen :
ertinya bahgian kewangan keuntungan sesuatu koperasi berdaftar yang dibahagikan di kalangan anggota-anggotanya mengikut kadar modal syer atau modal yuran yang dipegang oleh mereka;

Kesalahan Boleh Daftar :

ertinya kesalahan yang boleh didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah-penjenayah dan Orang-orang Tak Diingini 1969 sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama dan Kedua kepada Akta itu;

Ketua Pendaftar :

ertinya Ketua Pendaftar Koperasi yang dilantik di bawah seksyen 3;

Koperasi Asas :ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah subseksyen 4(1);

Koperasi Atasan :ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah subseksyen 4(3);

Koperasi Berdaftar :ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah Akta ini;

Koperasi Menengah :
ertinya koperasi yang didaftarkan di bawah subseksyen 4(2);
Lembaga :

ertinya badan pengelola sesuatu koperasi berdaftar yang kepadanya pengurusan hal-ehwal koperasi itu diamanahkan;
Mesyuarat Agung Permulaan :

ertinya mesyuarat agung yang padanya orang-orang yang berhasrat hendak menubuhkan suatu koperasi membuat ketetapan untuk menubuhkan koperasi itu, untuk menerima-pakai undang-undang kecil yang dicadangkan bagi koperasi itu dan untuk memohon supaya koperasi itu didaftarkan;
Pegawai :

ertinya pengerusi, setiausaha, bendahari atau mana-mana anggota lain sesuatu Lembaga dan termasuklah mana-mana orang lain yang diberikuasa oleh peraturan-peraturan atau undang-undang kecil untuk memberikan arahan-arahan berkenaan dengan urusan koperasi berdaftar itu;

Peraturan :

ertinya peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;

Perlantikan :

termasuklah apa-apa perlantikan atau perlantikan semula melalui pemilihan;

Perniagaan Pembiayaan :

ertinya perniagaan penerimaan deposit dan

a. pemberian pinjaman atau pemberian apa-apa kemudahan kredit lain; atau

b.pemberian pinjaman dan pemberian apa-apa kemudahan kredit lain;

Perwakilan :
ertinya-
a.wakil anggota-anggota individu, yang dipilih di mesyuarat peringkat wilayah anggota-anggota sesuatu koperasi asas yang mesyuarat agung anggotanya digantikan dengan mesyuarat agung perwakilan; atau

b.wakil sesuatu koperasi berdaftar yang ialah anggota suatu koperasi berdaftar yang lain yang mesyuarat-mesyuaratnya wakil itu telah dipilih atau dilantik untuk menghadirinya;


Potongan Langganan :

ertinya bahagian keuntungan sesuatu koperasi berdaftar yang dibahagikan di kalangan anggota-anggotanya mengikut kadar banyaknya perniagaan yang dilakukan oleh mereka dengan koperasi itu dan yang daripadanya keuntungan koperasi itu diperoleh;

Prinsip-Prinsip Koperasi :

termasuklah-

a.keanggotaan sukarela dan terbuka;
b.pengurusan yang demokratik;
c.pulangan terhad atas modal yang disumbangkan oleh anggota-anggota;
d.pembahagian keuntungan dengan saksama;
e.penggalakan pendidikan koperasi; dan
f.kerjasama aktif di kalangan koperasi-koperasi berdaftar;

Sabitan :termasuklah sesuatu dapatan bersalah dan pembuktian kesalahan;

Simpanan Khas :

ertinya wang yang didepositkan oleh seseorang anggota dengan sesuatu koperasi berdaftar dengan niat nyata untuk menggunakan wang yang didepositkan untuk suatu maksud yang dinyatakan yang dibenarkan di bawah peraturan-peraturan:

Subsidiari :

sesuatu koperasi berdaftar ertinya sesuatu syarikat, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965, yang komposisi Lembaga Pengarahnya atau lebih daripada separuh kuasa mengundinya dikawal oleh koperasi berdaftar itu, atau yang lebih daripada separuh modal syer diterbitkannya dipegang oleh koperasi berdaftar itu, dan termasuklah sesuatu subsidiari, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta itu, bagi syarikat itu;

Syer :

ertinya bahagian dalam modal syer sesuatu koperasi berdaftar yang disumbangkan oleh seseorang anggota berkenaan dengan keanggotaannya dalam koperasi berdaftar itu;

Undang-Undang Kecil :

ertinya undang-undang kecil berdaftar yang dibuat oleh sesuatu koperasi berdaftar pada menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan oleh Akta ini, dan termasuklah sesuatu pindaan berdaftar undang-undang kecil itu;

Wang Berlebihan :

ertinya wang yang melebihi amaun yang diperlukan oleh sesuatu koperasi berdaftar bagi kegunaan segera sebagai modal kerja bagi perniagaannya, yang boleh didepositkan atau dilaburkan di luar koperasi itu tanpa menjejaskan pengendalian perniagaan itu;

Yuran :

ertinya jurnlah wang yang disumbangkan pada lat-lat masa yang tetap oleh seseorang anggota berkenaan dengan keanggotaannya dalam sesuatu koperasi berdaftar dan yang boleh dikeluarkan apabila tamat keanggotaannya.
3.Ketua Pendaftar dan Pendaftar-Pendaftar

3.1 Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seseorang untuk menjadi Ketua Pendaftar Koperasi bagi Malaysia.

3.2 Ketua Pendaftar boleh melantik sekian bilangan pegawai awam sebagaimana yang perlu untuk menjadi Pendaftar untuk membantunya dan Pendaftar-Pendaftar itu hendaklah, tertakluk kepada kawalan Ketua Pendaftar, mempunyai segala kuasa dan fungsi Ketua Pendaftar kecuali kuasa dan fungsi yang dinyatakan dalam seksyen 65, 69, 71, 71A, 71B, 71C,72, 92 dan 93.

3.3 Fungsi-fungsi Ketua Pendaftar ialah-

a.mendaftarkan dan membatalkan pendaftaran koperasi-koperasi dan memastikan bahawa koperasi-koperasi berfungsi mengikut peruntukan-peruntukan Akta ini;

b.menasihati Menteri tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan koperasi;

c.menggalakkan dan meningkatkan penubuhan dan pembangunan koperasi dalam semua sektor ekonomi dan membantu koperasi-koperasi meningkatkan kecekapannya.

3.4 Sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa, kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi yang diberikan kepada Ketua Pendaftar oleh Akta ini dan peraturan-peraturan, Ketua Pendaftar hendaklah mempunyai dan boleh menjalankan segala kuasa, menunaikan segala kewajipan dan melaksanakan segala fungsi yang perlu bagi maksud memberikan kuatkuasa kepada dan melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini.

3.5 Orang yang sedang menjalankan kewajipan-kewajipan Ketua Pendaftar dan pengganti-penggantinya dalam jawatan hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan dengan nama "Ketua Pendaftar Koperasi, Malaysia" (dalam seksyen ini disebut "perbadanan itu"), yang hendaklah kekal turun-temurun dan mempunyai meterai perbadanan dan yang boleh-

a. membuat kontrak dan mendakwa dan didakwa dengan namanya yang tersebut itu;

b. memperoleh, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala jenis harta alih dan tak alih; dan

c. menjual, memindahhakkan, menyerahhakkan, menyerahkan balik dan memulangkan, menggadai-janji, menggadaikan, mendemis, menyerahhakkan semula, memindahkan atau selainnya melupuskan apa-apa harta alih dan tak alih yang terletakhak pada perbadanan itu atas apa-apa terma yang difikirkan patut oleh perbadanan itu.


3.6 Meterai perbadanan bagi perbadanan itu boleh, dari semasa ke sernasa, dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baru sebagaimana yang difikirkan patut oleh perbadanan itu, dan sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini suatu cap yang mengandungi tulisan "Ketua Pendaftar Koperasi, Malaysia" boleh digunakan sebagai meterai perbadanan.


3.7 Segala suratikatan, dokumen dan suratcara lain yang memerlukan meterai perbadanan itu hendaklah dimeteraikan dengan meterai perbadanan di hadapan pegawai yang sedang menjalankan kewajipan- kewajipan Ketua Pendaftar dan Ketua Pendaftar hendaklah menandatangani tiap-tiap suratikatan, dokumen atau suratcara lain sedemikian yang padanya meterai perbadanan telah dicapkan, dan penandatanganan sedemikian hendaklah menjadi keterangan yang mencukupi bahawa meterai itu telah dicapkan dengan sewajarnya dan sepatutnya dan bahawa meterai itu ialah meterai sah bagi perbadanan itu.


3.8 Perbadanan hendaklah menyenggara rekod-rekod dan akaun-akaun yang sepatutnya berkenaan dengan transaksi-transaksinya dan akaun-akaun itu hendaklah diaudit setiap tahun oleh Ketua Audit Negara.


Tiada ulasan: